Selasa, 1 Mei 2012

Ikan garing dan Tidak Melekat
Masukkan sekeping asam gelugur ketika mengoreng ikan. Anda akan dapati ikan tersebut tidak melekat dan cepat garing.
Ikan Goreng Tidak Hanyir
Kadangkala ikan yang digoreng tidak garing dan berbau hanyir. Bagi mengelakkannya cuba amalkan petua ini :-
  1. Sebelum menggoreng, taburkan serbuk kunyit pada minyak yang telah dipanaskan. Kemudian masukkan ikan yang digaul dengan garam sahaja. Goreng ikan seperti biasa. Ikan tidak berasa hanyir walaupun telah sejuk.
  2. Campurkan sedikit serbuk kunyit, bawang putih serta garam. Lumurkan rata-rata pada ikan dan perapkan beberapa minit. Kemudian goreng ikan seperti biasa.
Hilangkan Masin Ikan Kering
Rendamkan ikan tersebut dalam air kelapa beberapa minit sebelum digoreng
Melazatkan Ikan Beku
Ikan yang disimpan lama di dalam peti sejuk akan berasa tawar dan tidak segar. Cara mengatasinya ialah: rendamkan ikan tersebut di dalam susu segar selama 15 minit. Masaklah seperti biasa. Ikan akan menjadi segar semula dan enak dimakan.
Menanggalkan Sisik Ikan
Sesetengah ikan, sisiknya sukar untuk ditanggalkan. Cara yang mudah ialah dengan merendamkan ikan di dalam air dan biarkan seketika. Kikis sisik ikan di dalam air. Anda akan dapai sisiknya mudah tertanggal.
Mengelakkan Ikan Masin Hancur
Ikan masin terutamanya gelama akan mudah hancur bila digoreng. Bagi mengatasi masalah ini, taburkan sedikit tepung gandum pada ikan terlebih dahulu sebelum digoreng.
Menyedapkan Ikan Bakar
Jika ingin ikan bakar lebih sedap rasanya, selepas dicuci ikan tersebut hendaklah diperapkan dengan sedikit asam jawa dan air. Biarkan selama beberapa minit sebelum dibakar atau dipanggang.
Ikan Segar Walau Disimpan Lama
  1. Cara mengekalkan kesegarannya, siang kesemua ikan tetapi jangan dicuci. Masukkan ke dalam beg plastik dan simpan dalam peti sejuk. Ikan akan tetap segar walaupun di simpan lebih seminggu dalam peti sejuk.
  2. Setelah ikan di siang, perapkan dengan beberapa biji buah belimbing buluh dan sedikit garam. Selepas itu cucilah dengan air. Masukkan ikan ke dalam beg plastik dan simpan dalam peti sejuk.
Hilangkan Hanyir Ikan
Air basuhan beras jangan dibuang, ia boleh digunakan untuk membasuh ikan. Setelah ikan dibersihkan, rendam dengan air beras beberapa minit. Kemudian dicuci dengan air.
Hilangkan Hanyir Ikan Sungai
  1. Siang ikan dahulu dan rendamkan ke dalam air garam selama 15 minit. Gunakan garam kasar. Kemudian cuci dengan air bersih.
  2. Gaul ikan dengan sedikit tepung gandum, asam jawa dan garam. Biarkan sekejap dan cuci menggunakan air biasa.
Telur Ikan Tidak Pecah
Masukkan telur ikan ke dalam plastik. Rebus lebih kurang lima minit. Keluarkan dari plastik dan masak seperti biasa.

1 ulasan:

Norzie hany berkata...

Nice info...tq for sharing